Sabtu, 11 April 2015

PERLUASAN MAKNA DALAM BAHASA MELAYU

Perluasan makna adalah suatu proses perubahan makna kata dari yang lebih khusus ke yang lebih umum, atau dari yang lebih sempit ke yang lebih luas.  Menurut Chaer (2009:140), perkara yang dimaksudkan dengan penambahan atau perluasan makna adalah gejala yang terjadi pada sesebuah kata atau leksem yang pada mulanya hanya memiliki satu makna tetapi kemudiannya memiliki makna-makna lain kerana pelbagai faktor. Makna-makna lain ini juga dikenali sebgai makna pinggiran. Menurut Tarigan (2009:79), perluasan makna adalah satu proses perubahan makna kata dari  makna yang lebih khusus kepada makna yang lebih umum atau dari makan yang lebih sempit kepada makna yang lebih luas. Perluasan makna juga dikenali sebagai generalisasi.
         Perluasan makna dapat dilihat pada kata “saudara” yang dahulunya merujuk kepada adik-beradik iaitu sekandung atau seperut. Pada masa sekarang kata “saudara” tersebut telah melalui proses perluasan makna di mana kata tersebut juga merujuk kepada sesiapa sahaja yang mempunyai asal-usul atau pertalian darah dengan seseorang. Malah, pada masa sekarang kata “saudara” juga diguna pakai oleh masyarakat  untuk merujuk kepada orang lelaki dan kata “saudari” untuk orang perempuan. Selain itu, kata “abang” yang sebelumnya hanya merujuk kepada saudara lelaki sekandung atau ahli keluarga lelaki yang lebih tua umurnya tetapi pada masa sekarang kata “abang” tersebut telah menjadi luas maknanya  iaitu panggilan yang diberikan oleh seseorang kepada sesiapa sahaja orang lelaki yang lebih tua usianya. Panggilan ini digunakan utuk menunjukkan rasa hormat terhadap seseorang. Begitu juga dengan kata “kakak”. Di samping itu, menurut Slametmuljana, kata “kemudi” yang dahulunya yang merujuk kepada cara untuk menggerakkan perahu atau kapal telah menjadi luas maknanya. Menurutnya lagi, sifat khusus kata “kemudi” yang mempunyai hubungan dengan kapal atau perahu menjadi luntur dan kata “kemudi”  tersebut digunakan untuk pengertian menjalankan. Misalnya, mengemudikan perusahaan, mengemudikan organisasi dan sebagainya.
Terdapat juga contoh-contoh lain bagi kata-kata yang mengalami perluasan makna. Contoh-contoh lain dapat dilihat dalam jadual berikut:

Jadual 2: Kata yang mengalami perluasan makna
PERKATAAN
MAKNA TERAS
MAKNA PINGGIRAN
Taman
Kebun bunga atau taman bunga.
Mencakupi makna tambahan seperti kawasan perumahan, kawasan perindustrian dan kawasan alam semulajadi seperti Taman Negara Kinabalu.
Datuk
Bapa kepada ayah atau ibu seseorang
Gelaran kehormat yang diberi oleh raja bagi individu tertentu untuk mengenang jasa dan sumbangan mereka.
Berlayar
Mengharungi lautan dengan kapal layar
Merangkumi semua tindakan pelayaran mengharungi lautan atau perairan dengan menggunakan pelbagai alatan.
Sumber: Adaptasi daripada beberapa bahan bacaan

Berdasarkan jadual 2, dapat dilihat kata “taman” mengalami proses perluasan makna di mana sebelumnya kata tersebut hanya merujuk kepada kebun bunga atau taman bunga tetapi makna kata “taman” tersebut berubah kepada makna lain juga iaitu kawasan perumahan,kawasan perindustrian dan kawasan alam semulajadi pada masa sekarang. Begitu juga kata “datuk” yang sebelum ini digunakan untuk membuat panggilan kepada bapa kepada ayah atau ibu seseorang, namun sekarang makna tersebut telah diperluaskan sebagai gelaran kehormat yang diberi oleh raja bagi individu tertentu untuk mengenang jasa dan sumbangan mereka.
          Perluasan makna ini terbahagi kepada dua jenis. Jenis perluasan makna yang pertama ialah pengitlakan makna. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengitlakan ialah merumuskan hal secara umum atau menyeluruh. Pengitlakan makna berlaku apabila sesuatu kata meluas dari segi pemakaiannya. Misalnya perkataan “alim”. Kata “alim” membawa maksud orang yang arif dalam ilmu agama dan makna ini merupakan makna asal daripada bahasa Arab. Namun, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kata “alim” mempunyai makna teras dan juga makna pinggiran dimana kata “alim” tersebut telah diperluaskan lagi maknanya. Makna teras “alim” dalam Kamus Dewan ialah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama Islam di samping memiliki sifat warak, zuhud dan takwa. Manakala makna pinggiran bagi kata “alim” ialah patuh kepada ajaran Islam serta rajin beribadat dan sangat baik sifat dan akhlaknya. Hal ini menunjukkan kata “alim” telah mengalami pengitlakan makna. Kata “alim” juga digunakan untuk kiasan, gelaran atau darjat dan firasat. Sebagai contoh kata “alim” dalam kiasan alim-alim kucing yang membawa maksud berpura-pura alim sedangkan sebenarnya tidak alim.
             Perluasan makna yang kedua ialah pengenalan makna baru melalui penghilangan makna.Perluasan makna jenis ini berlaku apabila sesuatu kata menerima makna baru sedangkan sebelumnya tidak wujud dalam bahasa penerima. Sesuatu kata diberikan makna baru yang bertentangan daripada makna asal. Walaupun sebenarnya makna yang baru itu mempunyai kaitan dengan makna asal kata yang dipinjam tersebut. Misalnya kata “gapura” yang bermaksud pintu gerbang berbanding makna sebenarnya dalam bahasa Arab “ghafura” yang bermaksud Maha Pengampun. Asal-usul perubahan makna kata ini adalah kononya pada zaman Wali Songo di Jawa mempercayai bahawa sesiapa yang melepasi satu gerbang untuk ke Masjid Demak, dengan sendirinya mendapat pengampunan semua dosanya atas agama yang telah dianutinya  sebelum itu.


BIBLIOGRAFI
Chaer, Abdul. 2009. Pengantar Semantik Bahasa Indonesia. Jakarta: Rineka Cipta
Hajah Noresah bt Baharom (editor). (2010),  Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan                       Pustaka: Kuala Lumpur.
Slametmuljana. 1965.  Semantik (Ilmu Makna). Oxford University Press.
Tarigan, Henry Guntur. 2009. Pengajaran Semantik. Bandung: Angkasa
Nor Hashimah Jalaluddin, Anida Sarudin, Zaharani Ahmad. 2012. Perluasan Makna Alim: Analisis              Semantik Kognitif: GEMA Online Journal of Language Studies 457 Volume 12(2) diakses                  pada 10 April 2015 daripada http://www.ukm.my/ppbl/Gema/GEMA%20vol%2012%20(2)%              202012/pp%20457473.pdf
http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/1660/3/06001583.pdf.txt diakses pada 10 April 2015.
http://studentsrepo.um.edu.my/3197/5/BAB3.pdf diakses pada 10 April 2015.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan