Sabtu, 11 April 2015

PENYEMPITAN MAKNA DALAM BAHASA MELAYU

Bidang makna atau semantik yang sebenarnya menjadi sebahagian daripada ilmu linguistik ini, menjadi suatu hal yang amat penting memandangkan hal kajian bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur makna. Bahasa berkembang secara berterusan sesuai dengan perkembangan pemikiran pemakai bahasa. Melalui bahasa atau kata manusia mengungkap fikiran, perasaan, pendapat dan perlakuan. Semakin banyak kata yang dikuasai seseorang semakin banyak idea dan perasaan yang dapat diungkapkan baik secara tersurat atau tersirat. Manusia yang menggunakan kata-kata, dan manusia juga yang menambah kosa kata yang sesuai dengan keperluannya. Bahasa ini bersifat dinamik iaitu sentiasa mengalami perubahan dari segi struktur, dan kosa katanya sehingga menyebabkan perubahan makna berlaku. Hal ini menyebabkan terjadinya perubahan makna terhadap kata-kata yang sering digunakan dalam bahasa Melayu. Perubahan adalah hal atau keadaan yang berubah, peralihan dan pertukaran. Makna satu perkataan atau ungkapan boleh  berubah daripada   yang asal kepada makna yang baru. Terdapat beberapa  jenis perubahan   makna iaitu penyempitan makna, pengkhususan makna, perluasan makna dan asosiasi makna.
Penyempitan makna sesebuah kata ialah proses perubahan makna kata daripada makna yang lebih luas kepada makna yang lebih khusus atau spesifik. Walau bagaimanapun, tidak semua perkataan mengalami pemyempitan makna. Pembentukan kata jenis ini dilakukan dengan cara mengambil kata yang telah sedia ada dan kemudiannya kata tersebut disempitkan. Hal ini kerana untuk merujuk kepada sesuatu yang lebih umum. Misalnya, dalam bahasa Melayu itu sendiri, dahulunya perkataan “tuan puteri” mempunyai makna yang khusus iaitu digunakan untuk  memanggil wanita bangsawan atau wanita berketurunan raja. Namun, pada masa sekarang perkataan “tuan” membawa makna rujukan kepada orang lelaki yang patut dihormati. Hal ini menunjukkan penyempitan makna bagi perkataan “tuan” di mana sebelum ini digunakan untuk lelaki dan perempuan tetapi pada masa sekarang hanya digunakan untuk lelaki sahaja. Walau bagaimanapun, panggilan “tuan” yang merujuk panggilan hormat kepada wanita boleh diterima pakai pada masa sekarang jika paggilan tersebut digunakan dalam urusan surat-menyurat yang rasmi. 
Penyempitan makna juga boleh dilihat pada kata “dai” dalam bahasa Arab. Kata ini membawa maksud orang yang menjemput, orang yang berdoa, dan orang yang menyebarkan dakwah dalam bahasa Arab. Namun, dalam bahasa Melayu kata “dai” ini telah disempitkan maknanya kepada pendakwah sahaja. Hal ini terjadi kerana, keperluan penutur Melayu terhadap kata “dai” tersebut hanyalah membawa maksud pendakwah sahaja. Perkara ini menyebabkan makna-makna lain tidak diterima pakai oleh penutur Melayu apabila kata ini diserap masuk dalam bahasa Melayu.Terdapat juga contoh-contoh lain penyempitan makna yang berlaku dalam Kamus Swettenham. Contoh-contoh tersebut dapat dilihat dalam jadual berikut:

Jadual 1: Kata yang mengalami penyempitan makna
BAHASA INGGERIS
KAMUS SWETTHENHAM
KAMUS DEWAN
Bottle
Botol, kaca, balang
Botol
Bridge
Jambatan, titi, gertak
Jambatan
Chalk
Kapur, blanda
Kapur
Corpse
Mayat, bangkai
Mayat
Dictionary
Lohrat, kamus
Kamus
Ferry boat
Sampan, tambang
Feri
Hat
Kupiah, tudung kepala, topi
Topi
Kettle
Kendi, cerek
Cerek
Market
Pasar, pekan
Pasar
Parents
Ibu bapa, ayah bonda
Ibu bapa
River
Sungai, batang air
Sungai
Thief
Pencuri, kawar
Pencuri
Sumber:http://www.scribd.com/doc/52039546/Perubahan-Makna
-Dalam-  Bahasa-Melayu


Berdasarkan  Jadual 1, dapat dilihat salah satu kata yang mengalami penyempitan makna adalah kata “bottle”. Kamus Swettenham telah memberikan tiga makna “bottle” dalam bahasa Melayu iaitu “kaca”, “balang” dan “botol” manakala dalam Kamus Dewan, makna bagi “bottle” ialah botol sahaja. Hal ini kerana dalam Kamus Dewan, kata “kaca” dan “balang” mempunyai makna yang lebih khusus pada masa sekarang.



BIBLIOGRAFI
Chaer, Abdul. 2009. Pengantar Semantik Bahasa Indonesia. Jakarta: Rineka Cipta
Hajah Noresah bt Baharom (editor). (2010),  Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan           Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Slametmuljana. 1965.  Semantik (Ilmu Makna). Oxford University Press.
Tarigan, Henry Guntur. 2009. Pengajaran Semantik. Bandung: Angkasa
http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/1660/3/06001583.pdf.txt. diakses pada 10 April 2015.
http://studentsrepo.um.edu.my/3197/5/BAB3.pdf. diakses pada 10 April 2015.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan