Perluasan makna adalah suatu proses perubahan makna kata dari yang lebih
khusus ke yang lebih umum, atau dari yang lebih sempit ke yang lebih luas. Menurut Chaer
(2009:140), perkara yang dimaksudkan dengan penambahan atau perluasan makna
adalah gejala yang terjadi pada sesebuah kata atau leksem yang pada mulanya
hanya memiliki satu makna tetapi kemudiannya memiliki makna-makna lain kerana
pelbagai faktor. Makna-makna lain ini juga dikenali sebgai makna pinggiran.
Menurut Tarigan (2009:79), perluasan makna adalah satu proses perubahan makna
kata dari makna yang lebih khusus kepada
makna yang lebih umum atau dari makan yang lebih sempit kepada makna yang lebih
luas. Perluasan makna juga dikenali sebagai generalisasi.
Perluasan
makna dapat dilihat pada kata “saudara” yang dahulunya merujuk kepada
adik-beradik iaitu sekandung atau seperut. Pada masa sekarang kata “saudara”
tersebut telah melalui proses perluasan makna di mana kata tersebut juga
merujuk kepada sesiapa sahaja yang mempunyai asal-usul atau pertalian darah
dengan seseorang. Malah, pada masa sekarang kata “saudara” juga diguna pakai
oleh masyarakat untuk merujuk kepada
orang lelaki dan kata “saudari” untuk orang perempuan. Selain itu, kata “abang”
yang sebelumnya hanya merujuk kepada saudara lelaki sekandung atau ahli
keluarga lelaki yang lebih tua umurnya tetapi pada masa sekarang kata “abang”
tersebut telah menjadi luas maknanya
iaitu panggilan yang diberikan oleh seseorang kepada sesiapa sahaja
orang lelaki yang lebih tua usianya. Panggilan ini digunakan utuk menunjukkan
rasa hormat terhadap seseorang. Begitu juga dengan kata “kakak”. Di samping
itu, menurut Slametmuljana, kata “kemudi” yang dahulunya yang merujuk kepada
cara untuk menggerakkan perahu atau kapal telah menjadi luas maknanya.
Menurutnya lagi, sifat khusus kata “kemudi” yang mempunyai hubungan dengan
kapal atau perahu menjadi luntur dan kata “kemudi” tersebut digunakan untuk pengertian
menjalankan. Misalnya, mengemudikan
perusahaan, mengemudikan organisasi
dan sebagainya.
Terdapat
juga contoh-contoh lain bagi kata-kata yang mengalami perluasan makna.
Contoh-contoh lain dapat dilihat dalam jadual berikut:
Jadual
2: Kata yang mengalami perluasan makna
PERKATAAN
|
MAKNA TERAS
|
MAKNA PINGGIRAN
|
Taman
|
Kebun bunga
atau taman bunga.
|
Mencakupi
makna tambahan seperti kawasan perumahan, kawasan perindustrian dan kawasan
alam semulajadi seperti Taman Negara Kinabalu.
|
Datuk
|
Bapa kepada ayah atau ibu seseorang
|
Gelaran
kehormat yang diberi oleh raja bagi individu tertentu untuk mengenang jasa
dan sumbangan mereka.
|
Berlayar
|
Mengharungi
lautan dengan kapal layar
|
Merangkumi semua tindakan pelayaran mengharungi lautan atau perairan
dengan menggunakan pelbagai alatan.
|
Sumber:
Adaptasi daripada beberapa bahan bacaan
Berdasarkan jadual 2,
dapat dilihat kata “taman” mengalami proses perluasan makna di mana sebelumnya
kata tersebut hanya merujuk kepada kebun bunga atau taman bunga tetapi makna
kata “taman” tersebut berubah kepada makna lain juga iaitu kawasan
perumahan,kawasan perindustrian dan kawasan alam semulajadi pada masa sekarang.
Begitu juga kata “datuk” yang sebelum ini digunakan untuk membuat panggilan
kepada bapa kepada ayah atau ibu seseorang, namun sekarang makna tersebut telah
diperluaskan sebagai gelaran kehormat yang diberi oleh raja bagi
individu tertentu untuk mengenang jasa dan sumbangan mereka.
Perluasan makna ini terbahagi
kepada dua jenis. Jenis perluasan makna yang pertama ialah pengitlakan makna. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat, pengitlakan ialah merumuskan hal secara umum atau
menyeluruh. Pengitlakan makna berlaku apabila sesuatu kata meluas dari segi
pemakaiannya. Misalnya perkataan “alim”. Kata “alim” membawa maksud orang yang
arif dalam ilmu agama dan makna ini merupakan makna asal daripada bahasa Arab.
Namun, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kata “alim” mempunyai makna teras dan
juga makna pinggiran dimana kata “alim” tersebut telah diperluaskan lagi
maknanya. Makna teras “alim” dalam Kamus Dewan ialah mempunyai pengetahuan yang
mendalam tentang agama Islam di samping memiliki sifat warak, zuhud dan takwa.
Manakala makna pinggiran bagi kata “alim” ialah patuh kepada ajaran Islam serta
rajin beribadat dan sangat baik sifat dan akhlaknya. Hal ini menunjukkan kata
“alim” telah mengalami pengitlakan makna. Kata “alim” juga digunakan untuk
kiasan, gelaran atau darjat dan firasat. Sebagai contoh kata “alim” dalam
kiasan alim-alim kucing yang membawa
maksud berpura-pura alim sedangkan sebenarnya tidak alim.
Perluasan makna yang kedua ialah
pengenalan makna baru melalui penghilangan makna.Perluasan makna jenis ini
berlaku apabila sesuatu kata menerima makna baru sedangkan sebelumnya tidak
wujud dalam bahasa penerima. Sesuatu kata diberikan makna baru yang
bertentangan daripada makna asal. Walaupun sebenarnya makna yang baru itu
mempunyai kaitan dengan makna asal kata yang dipinjam tersebut. Misalnya kata
“gapura” yang bermaksud pintu gerbang
berbanding makna sebenarnya dalam bahasa Arab “ghafura” yang bermaksud Maha Pengampun. Asal-usul perubahan
makna kata ini adalah kononya pada zaman Wali Songo di Jawa mempercayai bahawa
sesiapa yang melepasi satu gerbang untuk ke Masjid Demak, dengan sendirinya
mendapat pengampunan semua dosanya atas agama yang telah dianutinya sebelum itu.
BIBLIOGRAFI
Chaer, Abdul.
2009. Pengantar Semantik Bahasa Indonesia.
Jakarta: Rineka Cipta
Hajah Noresah bt Baharom (editor). (2010), Kamus Dewan Edisi
Keempat. Dewan
Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Slametmuljana. 1965.
Semantik (Ilmu Makna). Oxford
University Press.
Tarigan, Henry Guntur. 2009. Pengajaran Semantik. Bandung: Angkasa
Nor
Hashimah Jalaluddin, Anida Sarudin, Zaharani Ahmad. 2012. Perluasan Makna Alim: Analisis Semantik Kognitif: GEMA Online
Journal of Language Studies 457 Volume 12(2) diakses pada 10 April 2015 daripada http://www.ukm.my/ppbl/Gema/GEMA%20vol%2012%20(2)% 202012/pp%20457473.pdf
http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/1660/3/06001583.pdf.txt
diakses pada 10 April 2015.
http://studentsrepo.um.edu.my/3197/5/BAB3.pdf
diakses pada 10 April 2015.