Sabtu, 11 April 2015

PERLUASAN MAKNA DALAM BAHASA MELAYU

Perluasan makna adalah suatu proses perubahan makna kata dari yang lebih khusus ke yang lebih umum, atau dari yang lebih sempit ke yang lebih luas.  Menurut Chaer (2009:140), perkara yang dimaksudkan dengan penambahan atau perluasan makna adalah gejala yang terjadi pada sesebuah kata atau leksem yang pada mulanya hanya memiliki satu makna tetapi kemudiannya memiliki makna-makna lain kerana pelbagai faktor. Makna-makna lain ini juga dikenali sebgai makna pinggiran. Menurut Tarigan (2009:79), perluasan makna adalah satu proses perubahan makna kata dari  makna yang lebih khusus kepada makna yang lebih umum atau dari makan yang lebih sempit kepada makna yang lebih luas. Perluasan makna juga dikenali sebagai generalisasi.
         Perluasan makna dapat dilihat pada kata “saudara” yang dahulunya merujuk kepada adik-beradik iaitu sekandung atau seperut. Pada masa sekarang kata “saudara” tersebut telah melalui proses perluasan makna di mana kata tersebut juga merujuk kepada sesiapa sahaja yang mempunyai asal-usul atau pertalian darah dengan seseorang. Malah, pada masa sekarang kata “saudara” juga diguna pakai oleh masyarakat  untuk merujuk kepada orang lelaki dan kata “saudari” untuk orang perempuan. Selain itu, kata “abang” yang sebelumnya hanya merujuk kepada saudara lelaki sekandung atau ahli keluarga lelaki yang lebih tua umurnya tetapi pada masa sekarang kata “abang” tersebut telah menjadi luas maknanya  iaitu panggilan yang diberikan oleh seseorang kepada sesiapa sahaja orang lelaki yang lebih tua usianya. Panggilan ini digunakan utuk menunjukkan rasa hormat terhadap seseorang. Begitu juga dengan kata “kakak”. Di samping itu, menurut Slametmuljana, kata “kemudi” yang dahulunya yang merujuk kepada cara untuk menggerakkan perahu atau kapal telah menjadi luas maknanya. Menurutnya lagi, sifat khusus kata “kemudi” yang mempunyai hubungan dengan kapal atau perahu menjadi luntur dan kata “kemudi”  tersebut digunakan untuk pengertian menjalankan. Misalnya, mengemudikan perusahaan, mengemudikan organisasi dan sebagainya.
Terdapat juga contoh-contoh lain bagi kata-kata yang mengalami perluasan makna. Contoh-contoh lain dapat dilihat dalam jadual berikut:

Jadual 2: Kata yang mengalami perluasan makna
PERKATAAN
MAKNA TERAS
MAKNA PINGGIRAN
Taman
Kebun bunga atau taman bunga.
Mencakupi makna tambahan seperti kawasan perumahan, kawasan perindustrian dan kawasan alam semulajadi seperti Taman Negara Kinabalu.
Datuk
Bapa kepada ayah atau ibu seseorang
Gelaran kehormat yang diberi oleh raja bagi individu tertentu untuk mengenang jasa dan sumbangan mereka.
Berlayar
Mengharungi lautan dengan kapal layar
Merangkumi semua tindakan pelayaran mengharungi lautan atau perairan dengan menggunakan pelbagai alatan.
Sumber: Adaptasi daripada beberapa bahan bacaan

Berdasarkan jadual 2, dapat dilihat kata “taman” mengalami proses perluasan makna di mana sebelumnya kata tersebut hanya merujuk kepada kebun bunga atau taman bunga tetapi makna kata “taman” tersebut berubah kepada makna lain juga iaitu kawasan perumahan,kawasan perindustrian dan kawasan alam semulajadi pada masa sekarang. Begitu juga kata “datuk” yang sebelum ini digunakan untuk membuat panggilan kepada bapa kepada ayah atau ibu seseorang, namun sekarang makna tersebut telah diperluaskan sebagai gelaran kehormat yang diberi oleh raja bagi individu tertentu untuk mengenang jasa dan sumbangan mereka.
          Perluasan makna ini terbahagi kepada dua jenis. Jenis perluasan makna yang pertama ialah pengitlakan makna. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengitlakan ialah merumuskan hal secara umum atau menyeluruh. Pengitlakan makna berlaku apabila sesuatu kata meluas dari segi pemakaiannya. Misalnya perkataan “alim”. Kata “alim” membawa maksud orang yang arif dalam ilmu agama dan makna ini merupakan makna asal daripada bahasa Arab. Namun, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kata “alim” mempunyai makna teras dan juga makna pinggiran dimana kata “alim” tersebut telah diperluaskan lagi maknanya. Makna teras “alim” dalam Kamus Dewan ialah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama Islam di samping memiliki sifat warak, zuhud dan takwa. Manakala makna pinggiran bagi kata “alim” ialah patuh kepada ajaran Islam serta rajin beribadat dan sangat baik sifat dan akhlaknya. Hal ini menunjukkan kata “alim” telah mengalami pengitlakan makna. Kata “alim” juga digunakan untuk kiasan, gelaran atau darjat dan firasat. Sebagai contoh kata “alim” dalam kiasan alim-alim kucing yang membawa maksud berpura-pura alim sedangkan sebenarnya tidak alim.
             Perluasan makna yang kedua ialah pengenalan makna baru melalui penghilangan makna.Perluasan makna jenis ini berlaku apabila sesuatu kata menerima makna baru sedangkan sebelumnya tidak wujud dalam bahasa penerima. Sesuatu kata diberikan makna baru yang bertentangan daripada makna asal. Walaupun sebenarnya makna yang baru itu mempunyai kaitan dengan makna asal kata yang dipinjam tersebut. Misalnya kata “gapura” yang bermaksud pintu gerbang berbanding makna sebenarnya dalam bahasa Arab “ghafura” yang bermaksud Maha Pengampun. Asal-usul perubahan makna kata ini adalah kononya pada zaman Wali Songo di Jawa mempercayai bahawa sesiapa yang melepasi satu gerbang untuk ke Masjid Demak, dengan sendirinya mendapat pengampunan semua dosanya atas agama yang telah dianutinya  sebelum itu.


BIBLIOGRAFI
Chaer, Abdul. 2009. Pengantar Semantik Bahasa Indonesia. Jakarta: Rineka Cipta
Hajah Noresah bt Baharom (editor). (2010),  Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan                       Pustaka: Kuala Lumpur.
Slametmuljana. 1965.  Semantik (Ilmu Makna). Oxford University Press.
Tarigan, Henry Guntur. 2009. Pengajaran Semantik. Bandung: Angkasa
Nor Hashimah Jalaluddin, Anida Sarudin, Zaharani Ahmad. 2012. Perluasan Makna Alim: Analisis              Semantik Kognitif: GEMA Online Journal of Language Studies 457 Volume 12(2) diakses                  pada 10 April 2015 daripada http://www.ukm.my/ppbl/Gema/GEMA%20vol%2012%20(2)%              202012/pp%20457473.pdf
http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/1660/3/06001583.pdf.txt diakses pada 10 April 2015.
http://studentsrepo.um.edu.my/3197/5/BAB3.pdf diakses pada 10 April 2015.




PENYEMPITAN MAKNA DALAM BAHASA MELAYU

Bidang makna atau semantik yang sebenarnya menjadi sebahagian daripada ilmu linguistik ini, menjadi suatu hal yang amat penting memandangkan hal kajian bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur makna. Bahasa berkembang secara berterusan sesuai dengan perkembangan pemikiran pemakai bahasa. Melalui bahasa atau kata manusia mengungkap fikiran, perasaan, pendapat dan perlakuan. Semakin banyak kata yang dikuasai seseorang semakin banyak idea dan perasaan yang dapat diungkapkan baik secara tersurat atau tersirat. Manusia yang menggunakan kata-kata, dan manusia juga yang menambah kosa kata yang sesuai dengan keperluannya. Bahasa ini bersifat dinamik iaitu sentiasa mengalami perubahan dari segi struktur, dan kosa katanya sehingga menyebabkan perubahan makna berlaku. Hal ini menyebabkan terjadinya perubahan makna terhadap kata-kata yang sering digunakan dalam bahasa Melayu. Perubahan adalah hal atau keadaan yang berubah, peralihan dan pertukaran. Makna satu perkataan atau ungkapan boleh  berubah daripada   yang asal kepada makna yang baru. Terdapat beberapa  jenis perubahan   makna iaitu penyempitan makna, pengkhususan makna, perluasan makna dan asosiasi makna.
Penyempitan makna sesebuah kata ialah proses perubahan makna kata daripada makna yang lebih luas kepada makna yang lebih khusus atau spesifik. Walau bagaimanapun, tidak semua perkataan mengalami pemyempitan makna. Pembentukan kata jenis ini dilakukan dengan cara mengambil kata yang telah sedia ada dan kemudiannya kata tersebut disempitkan. Hal ini kerana untuk merujuk kepada sesuatu yang lebih umum. Misalnya, dalam bahasa Melayu itu sendiri, dahulunya perkataan “tuan puteri” mempunyai makna yang khusus iaitu digunakan untuk  memanggil wanita bangsawan atau wanita berketurunan raja. Namun, pada masa sekarang perkataan “tuan” membawa makna rujukan kepada orang lelaki yang patut dihormati. Hal ini menunjukkan penyempitan makna bagi perkataan “tuan” di mana sebelum ini digunakan untuk lelaki dan perempuan tetapi pada masa sekarang hanya digunakan untuk lelaki sahaja. Walau bagaimanapun, panggilan “tuan” yang merujuk panggilan hormat kepada wanita boleh diterima pakai pada masa sekarang jika paggilan tersebut digunakan dalam urusan surat-menyurat yang rasmi. 
Penyempitan makna juga boleh dilihat pada kata “dai” dalam bahasa Arab. Kata ini membawa maksud orang yang menjemput, orang yang berdoa, dan orang yang menyebarkan dakwah dalam bahasa Arab. Namun, dalam bahasa Melayu kata “dai” ini telah disempitkan maknanya kepada pendakwah sahaja. Hal ini terjadi kerana, keperluan penutur Melayu terhadap kata “dai” tersebut hanyalah membawa maksud pendakwah sahaja. Perkara ini menyebabkan makna-makna lain tidak diterima pakai oleh penutur Melayu apabila kata ini diserap masuk dalam bahasa Melayu.Terdapat juga contoh-contoh lain penyempitan makna yang berlaku dalam Kamus Swettenham. Contoh-contoh tersebut dapat dilihat dalam jadual berikut:

Jadual 1: Kata yang mengalami penyempitan makna
BAHASA INGGERIS
KAMUS SWETTHENHAM
KAMUS DEWAN
Bottle
Botol, kaca, balang
Botol
Bridge
Jambatan, titi, gertak
Jambatan
Chalk
Kapur, blanda
Kapur
Corpse
Mayat, bangkai
Mayat
Dictionary
Lohrat, kamus
Kamus
Ferry boat
Sampan, tambang
Feri
Hat
Kupiah, tudung kepala, topi
Topi
Kettle
Kendi, cerek
Cerek
Market
Pasar, pekan
Pasar
Parents
Ibu bapa, ayah bonda
Ibu bapa
River
Sungai, batang air
Sungai
Thief
Pencuri, kawar
Pencuri
Sumber:http://www.scribd.com/doc/52039546/Perubahan-Makna
-Dalam-  Bahasa-Melayu


Berdasarkan  Jadual 1, dapat dilihat salah satu kata yang mengalami penyempitan makna adalah kata “bottle”. Kamus Swettenham telah memberikan tiga makna “bottle” dalam bahasa Melayu iaitu “kaca”, “balang” dan “botol” manakala dalam Kamus Dewan, makna bagi “bottle” ialah botol sahaja. Hal ini kerana dalam Kamus Dewan, kata “kaca” dan “balang” mempunyai makna yang lebih khusus pada masa sekarang.



BIBLIOGRAFI
Chaer, Abdul. 2009. Pengantar Semantik Bahasa Indonesia. Jakarta: Rineka Cipta
Hajah Noresah bt Baharom (editor). (2010),  Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan           Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Slametmuljana. 1965.  Semantik (Ilmu Makna). Oxford University Press.
Tarigan, Henry Guntur. 2009. Pengajaran Semantik. Bandung: Angkasa
http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/1660/3/06001583.pdf.txt. diakses pada 10 April 2015.
http://studentsrepo.um.edu.my/3197/5/BAB3.pdf. diakses pada 10 April 2015.


Rabu, 8 April 2015

ISU 1: FRASA KOMPLEMENTIZER SEBAGAI SUBJEK AYAT???


Menurut Nik Safiah Karim et al. (2014:497) ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan pencantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu. Misalnya dalam ayat berikut:
1.      Ali sedang membaca buku dan Fatimah sedang membuat latihan matematik.
         (Sumber: Nik Safiah Karim et al., 2014:497)

Berdasarkan ayat tersebut dapat dilihat penggunaan kata hubung dan digunakan bagi menghubungkan dua ayat tunggal menjadi ayat majmuk. Menurut Nik Safiah Karim et al.(2014:498) terdapat tiga jenis ayat majmuk yang utama iaitu:
                                i.            Ayat majmuk gabungan
                              ii.            Ayat majmuk pancangan
                            iii.            Ayat majmuk campuran
Ayat majmuk gabungan ialah  yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya (Nik Safiah Karim et al., 2014:498). Ayat majmuk pancangan terdapat satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan  menjadi sebahagian daripada ayat induk itu (Nik Safiah Karim et al., 2014:504). Menurut Nik Safiah Karim et al.(2014:504) terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu yang ditentukan oleh cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan iaitu  ayat relatif, ayat komplemen, dan ayat keterangan. Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk (Nik Safiah Karim et al.,2014:519).
            Berdasarkan ayat majmuk yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan yang ditulis oleh Nik Safiah Karim et al.(2014) terdapat satu isu atau perkara yang akan diketengahkan iaitu isu mengenai ayat komplemen yang berada di bawah ayat majmuk pancangan. Menurut Nik Safiah Karim et al.(2014:511) terdapat tiga jenis ayat komplemen iaitu ayat komplemen frasa nama, ayat komplemen frasa kerja, dan ayat komplemen frasa adjektif. Isu yang ingin diketengahkan ialah mengenai ayat komplemen frasa nama. Menurut Nik Safiah Karim et al.(2014:511) ayat komplemen frasa nama hanya dapat menduduki dua tempat iaitu sebagai ayat komplemen frasa nama dan ayat komplemen frasa nama objek tepat. Berikut merupakan contoh ayat komplemen frasa nama:
2.      Bahawa Islam menjamin keadilan memanglah jelas.
(Sumber: Nik Safiah Karim et al., 2014:511)

3.      Bahawa rancangan itu gagal tidak benar.
(Sumber: Nik Safiah Karim et al., 2014:511)

Berdasarkan contoh 2, dan 3 tersebut Nik Safiah Karim et al. menyatakan bahawa Islam menjamin keadilan,  dan bahawa rancangan itu gagal merupakan  subjek ayat.  Menurut Nik Safiah Karim et al.(2014:464) subjek kepada sesuatu ayat terdiri daripada frasa nama yang terbentuk daripada  unsur-unsur seperti kata nama, kata ganti nama, kata kerja yang berfungsi sebagai kata nama, dan kata adjektif yang berfungsi sebagai kata nama. Abdullah Hassan (2006:15) pula menyatakan bahawa unsur-unsur subjek terdiri daripada frasa nama, kata ganti nama, frasa kerja yang berkuasa nama, dan frasa adjektif yang berkuasa nama. Jadi jelaslah di sini bahawa subjek kepada sesuatu ayat terdiri daripada frasa nama.
Namun begitu, subjek dalam ayat 2 dan 3 di atas merupakan frasa komplementizer kerana kata bahawa  merupakan kepala bagi frasa bahawa Islam menjamin keadilan, dan frasa bahawa rancangan itu. Hal ini kerana menurut Andrew Radford (2003:256) frasa komplementizer ialah frasa/klausa yang dikepalai oleh komplementizer. Begitu juga dengan Maggie Tallerman (2015:124) yang menyatakan bahawa komplementizer (singkatannya C) ialah kata fungsian seperti that, for, whether yang memperkenalkan klausa dan klausa tersebut merupakan pelengkap kepada kepala C, dan seluruh frasa dikenali sebagai frasa komplementizer. Misalnya dalam contoh berikut:
4.      Mel said that she was leaving.
(Sumber: Maggie Tallerman, 2015:124)
5.      For Kim to go too would be surprising.
(Sumber: Maggie Tallerman, 2015:124)
Berdasarkan contoh 4 dan 5 di atas frasa that she was leaving, dan frasa for Kim to go too merupakan frasa komplementizer kerana kata komplementizer that dan for merupakan kepala bagi kedua-dua frasa tersebut. Oleh hal yang demikian, jika dilihat pandangan Abdullah Hassan (2006) dan Nik Safiah Karim (2014) sendiri frasa komplementizer ini tidak boleh menjadi subjek kepada sesuatu ayat seperti dalam contoh 1 dan 2
Walau bagaimanapun, Liaw Yock Fang (1985:197)  ada menyatakan bahawa klausa bahawa boleh berfungsi sebagai subjek, objek, dan komplemen di dalam ayat kompleks. Contoh klausa bahawa yang berfungsi sebagai subjek dalam ayat berikut:
6.      Bahawa pendapatnya itu benar tidak dapat dinafikan orang.
(Sumber: Liaw Yock Fang, 1985:197)
7.      Bahawa dia orang kaya sudah diketahui umum.
(Sumber: Liaw Yock Fang, 1985:197)
Berdasarkan contoh 6 dan 7 di atas frasa bahawa pendapatnya itu benar dan frasa bahawa dia orang kaya merupakan frasa komplementizer yang berfungsi sebagai subjek ayat. Namun begitu, Nik Safiah Karim et al.(2014) tidak menjelaskan mengenainya, dan hal ini akan menimbulkan kekeliruan kepada pembaca.
            Kesinpulannya frasa yang dikepalai oleh kata koplementizer ialah frasa komplementizer. Selain itu, frasa komplementizer ini juga boleh menjadi subjek kepada seseuatu ayat.









BIBLIOGRAFI
Liaw Yock Fang. 1985. Nahu Melayu Moden. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Nik Safiah Karim, et al. 2013. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.